Sunday 19 February 2012

Karya Sayu | Kasih Seorang Ayah

Kasihnya ayah sanggupkah berpisah..



Pertama kali menonton video ini, terlintas perasaan lucu di hati. Melihat gelagat si anak membuat onar tidak mahu memejamkan mata melainkan ditemani ayah disisi. Lebih mencuit hati lagi, apabila si ayah mengalah dan bersetuju untuk menemani. Bukan setakat memujuk, malah didodoi lagi agar anaknya tidur berulitkan mimpi. Tidak cukup dengan itu, dia sendiri yang berbaring di dalam katil 'Baby'. Begitu besar pengorbanan si ayah ini.


Ramai di antara kita hanya diberi pendedahan tentang kasih ibu sahaja. Kasih ayah? Semacam dongengan pusaka. Adakah seorang ayah tidak mempunyai perasaan kasih dan sayang terhadap anaknya? Dusta. Bahkan ia adalah dusta semata. Disebalik kebengisan wajah mereka yang bergelar ayahanda.. Disebalik kelantangan suara mereka yang bernama bapa .. Ada di sana tanda kasih dan sayangnya kepada kita lebih daripada kasih dan sayang seorang ibu terhadap anakanda. Tetapi, hal ini akan dilupakan oleh si anak bilamana mereka meningkat usia. Bermula dari remaja. Berpindah ke belia. Seterusnya menjadi dewasa.. Ayah hanyalah ditempat yang kedua. Mungkin yang ketiga bila si anak telah mendirikan rumah tangga bahagia. 

Tahukah kita, Rasulullah SAW begitu memuliakan darjat seorang ayah umpama darjat seorang tuan kepada hamba ? Pernah satu ketika, baginda didatangi seorang sahabat yang mengadu bahawa ayahnya ingin mengambil hartanya. Lalu dipanggil ayah tua itu mengadap untuk menceritakan realiti bagai didakwa. Dengan kekuatan yang ada, si ayah seakan ingin membela anak tercinta. Tetapi, setelah dipujuk Baginda disertakan wahyu dari Yang Esa, dia mula berkata-kata. Diiringi linangan air mata hiba, dia mengadu tentang kelakuan serta layanan si anak kepadanya. '' Ketika kecil dia ku asuh, ku jaga, ku ajar, ku belai manja. Apabila besar, segalanya tiada makna. Seakan semuanya sia-sia ''. Pada saat yang datang entah dari mana, Baginda lantas menerpa. Memegang hujung leher baju milik anak yang hampir berpangkat derhaka :- " Sesungguhnya Dirimu dan Hartamu adalah Milik ayahmu " sabda Baginda. 

Tuntas, dimanakah kedudukan kita sebagai seorang anak dengan seorang ayah di kala dia masih bernyawa? Adakah kita layak dilabelkan sebagai anak soleh/solehah yang mampu membawanya ke syurga? Atau adakah kita hanyalah seorang insan yang hina lagi durjana kerana tidak menghiraukan mereka? Ingatlah !!! Bahawa firman Allah SWT tidak turun supaya seorang anak hanya menghormati dan mengasihi ibunya sahaja. Tetapi, ada terselit bersamanya nama si ayah 'Ketua Keluarga'. Fikir-fikirkanlah selagi ada waktu dan masa untuk kita kembali memohon ampun, maaf serta redha mereka yang tiada banding tara.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...