Friday, 2 August 2013

Karya Sayu | Tulusnya Kasihmu Ibu











Kalau nak kira, Mak aku la harta yang paling mahal, paling berharga. Takda nilai yang boleh disamakan dengannya. Aku cukup rapat dengan Mak aku. Dia lah yang tahu dan ambil tahu kehendak anak-anaknya. Cukup memahami.

Abah aku orangnya agak garang. Masa kami kecik-kecik dulu, pernah kami kena pelangkung dengan dia sebab lambat mandi pagi nak pergi sekolah. Sejak hari tu, aku dah kurang sikit ngan Abah. Apa-apa masalah aku ngadu ngan Mak. Mak la tempat aku bercerita suka duka, mintak tolong buat kerja sekolah. Mintak duit belanja. Kena buli ngan kawan. Semuanya Mak. Ngan Abah, jangan kata nak mintak, nak bersembang pun tak berani.
Abah pepagi lepas hantar kitorang pergi sekolah, dia pergi ladang. Tengah hari atau petang baru balik. Abah akan rehat. Kekadang tidur kat pangkin bawah pokok rambutan tepi rumah.
Macam tu la Abah hari-hari. Kami jarang dapat dengar suara dia. Tapi kalau dia dah bukak mulut memang kena.
Masa tu, kekadang aku rasa, kenapa la aku ada Abah. Kalau ada Mak je kan bagus. Tapi mungkin jugak Abah jadi gitu sebab keadaan hidup kami. Kami dulu orang susah. Abah hanya peneroka felda, kerja teruk tapi pendapatan tak seberapa. Untuk tampung perbelanjaan keluarga dan belanja sekolah kami, Mak buat nasik lemak ngan kuih tepung bungkus.
Pukul 5 pagi Mak dah bangun bungkus nasi. Pepagi, lepas hantar kitorang pergi sekolah, Abah singgah letak nasi lemak ngan tepung bungkus kat kedai makan tepi sekolah. Masa tu nasi lemak sebungkus Abah jual 30 sen. Kuih tepung bungkus 15 sen. Kekadang tu aku bawak gak 2, 3 bungkus nasik lemak, jual kat kawan sekelas, dapat duit belanja lebih hari tu.
Aku dapat duduk dengan Mak sampai tingkatan 3. Selepas itu, aku masuk asrama Vokasional Temerloh. Tapi, tetiap minggu balik kampung sebab nak makan masakan Mak. Keras tengkuk aku duk makan nasi kawah, ikan jeket ngan sawi balak kat asrama.
Petang Jumaat, balik kampung, sampai rumah terus cari nasi. Setiap Jumaat, dia dah tahu, dia akan goreng ikan plaklin (ikan temenung), sayur taugeh, ulam taugeh ngan kacang botol, sambal belacan lada besar. Tu je favored aku. Ada set tu. Memang makan tak ingat punya. Kekadang tu, Mak masak kari ayam cair. Kalau kena yang tu, sehari 3, 4 kali ulang makan nasi.
Duduk asrama, 2 tahun lepas SPM, aku kerja sementara kat Tekam Resort. Nama je resort sebenarnya aku kerja dalam ladang gak. Banci pokok. Gaji RM400. Tu la pendapatan pertama hasil titik peluh aku sendiri. Hari ambil gaji tu, seronok bukan main. Macam-macam dah plan nak beli barang.
Benda yang paling aku teringin masa tu, pancing guna mesin. Dapat duit, terus pergi pekan beli. Aku ingat lagi.. Harga pancing tu RM75 satu set. Balik rumah petang tu, duit lebih aku bagi kat Mak, sebab aku dah janji nak bagi duit pertama aku kat Mak. Bayar balik duit minyak motor yang aku mintak kat dia tetiap hari pergi kerja. Menitik air mata Mak bila dia pegang duit aku bagi tu. Aku ingat lagi masa tu dia kata

“Ni bukan duit minyak motor, ni duit kerja anak Ma. Alhamdulillah.. dapat dah Ma merasa duit anak-anak..”

Aku kerja tak lama. Aku dapat surat tawaran pergi UITM (masa tu masih ITM) Shah Alam jurusan elektrik panggilan pertama. Masa tu, aku baru balik kerja. Siap mandi, makan masakan sedap  Mak tengah hari tu.
Tengah makan Mak cakap “Haa… Makan puas-puas, nanti lambat pulak dapat makan macam ni”, aku tanya kenapa? Mak kata ada surat kat depan. Dan dan aku terus pergi ambil dan baca. Melompat aku masa tu. Aku tunjuk kat Mak. Dia kata dia dah baca dah tadi. Berair mata Mak masa tu. Kata dia.. Lepas dah anak Ma 2 orang. Tinggal 2 lagi tu tak tau macam mana.
Perbelanjaan aku masuk ITM masa tu abang sulung aku yang tanggung. Masa tu, dia di Jepun. Study dan buat kerja part time jadi DJ.
Masa aku sem 4, Mak bersalin adik perempuan. Kelahiran paling gembira bagi keluarga kami. Sebab sebelum ni, kami 4 beradik semuanya lelaki. Abah la orang yang paling gembira. Dah lama dia nak anak perempuan. Adik perempuan ni jugak telah buat perubahan pada diri Abah. Abah dah tak macam dulu. Sesekali aku balik, aku tengok Abah yang mengasuh adik lebih dari Mak. Syukur pada Tuhan. Harap adik tak merasa seperti apa yang kami rasa dulu.
Setahun selepas adik lahir, Mak sakit. Tapi takda la teruk sangat. Cuma pergi klinik je. Lepas sebulan lebih sakit, Mak tetap tak sembuh. Abah bawak Mak pergi pada pakar kat Hospital Mentakab. Diorang ambil sample darah Mak.
Lepas seminggu, diorang panggil pergi hospital semula. Dah dapat keputusan. Ya Allah.. Mak disahkan kena Kanser Payudara. Doktor kata, untuk selamat Mak kena operate selewat-lewatnya dalam tempoh sebulan.

Bermula dari hari tu, kami sekeluarga tak senang duduk terutama Abah. Merata dia cari tempat untuk berubat. Sebab kalau boleh, kami tak nak Mak dioperate. Tetiap hari Mak menangis. Bukan sebab sakit, tapi sebab dia risaukan adik perempuan yang masih kecil. Apa nasib adik bila dia takda nanti. Aku cukup tak tak tahan bila setiap kali Mak tinggalkan pesan.. “Mie.. Nak bancuh susu adik bubuh susu 2 sudu je. Mie.. Kain batik Ma ada 3 helai yang baru dalam almari. Nanti orang datang, bukak.. Ambik”. Air mata memang tak leh tahan.
Sampai masa, Mak terpaksa operate jugak. Doktor kata, kuman kanser tu dah merebak ke paru-paru. Masa tu, aku ambik cuti seminggu dengan dekan. Balik kampung kena jaga adik.
Lepas operate, Mak dah mula jadi lemah. Kesian sangat aku tengok Mak. Doktor nak buat kimo, tapi tak boleh sebab badan Mak terlampau lemah. Lepas 2 minggu Mak kat hospital, dia dah beransur baik. Abah bawak balik. Mak sihat kat rumah, tapi tak sepenuhnya, Makan masih berpantang. Boleh berjalan. Boleh buat kerja rumah macam biasa.
Tapi tak lama. Dalam sebulan lebih lepas tu, Mak pengsan tiba-tiba. Abah bawak Mak pergi Hospital Jengka. Bermula dari hari itu.. Keadaan Mak makin hari, makin teruk. Seminggu Mak kat hospital. Kemudian doktor bagi balik. Keadaan Mak elok sikit, tapi Mak dah tak boleh berjalan masa tu. Kena guna kerusi roda. 2 hari je Mak sempat duduk rumah. Lepas tu, Abah terpaksa bawak Mak pergi hospital semula, sebab keadaan Mak terlalu lemah. Mata tak boleh bukak. Dan Mak dah tak boleh bercakap. Mak tak makan sejak balik rumah. Masuk makanan Mak muntah.
Doktor kata penyakit Mak dah teruk. Kuman dah merebak ke paru-paru dan hati. Sebab tu Mak tak boleh Makan. Selama di hospital, Mak hidup dengan air dan ubat saja. Sayunya aku tengok muka Mak. Dah cengkung. Nafas tercungap-cungap. Tapi masa tu, Mak boleh bercakap.
Satu yang aku amat kagum dengan Mak. Walaupun dia menderita sakit, tapi dia tak pernah sebut yang dia sakit. Kami berbual macam biasa. Macam takda apa-apa. Boleh buat lawak, gelak lagi. Walhal, aku tau yang dia menanggung sakit yang amat sangat.

Doktor ada terangkan pada kami adik beradik macam mana nak jaga orang sakit barah. Doktor kata, penyakit ni panas. Lebih panas dari suhu badan bila kita demam. Kemudian, semua sendi satu badan akan sakit. Perut rasa lapar tapi tak boleh makan. Penglihatan akan kabur. Disebabkan paru-paru Mak dah rosak, bila dia bernafas, dia akan rasa sakit.

Seksanya Mak. Tapi, dia tak tunjuk kesakitan dia pada anak-anak. Cuma bila dia tengok adik, dia akan menangis. Aku pun sama akan ikut menangis bila tengok Mak peluk adik.
Semakin hari, keadaan Mak semakin teruk. Aku ambik keputusan untuk cuti satu sem. Abang di Jepun pun balik.
Hati Mak dah mula membengkak. Perut dia buncit macam dipam. Berkilat dan boleh nampak urat. Mata Mak dah tak terang. Bila dia tengok satu-satu benda, dia akan nampak seperti ada benda macam semut tengah merayap. Dan masa tu juga, pemikiran Mak dah tak berapa normal. Dia tak kenal dah orang yang pergi melawat dia kecuali anak-anak dia.
Ada satu masa tu, aku tengah urut tangan dia. Dia sapu kepala aku macam ada benda atas kepala aku. Aku tanya kenapa? Dia kata ada habuk penuh atas kepala aku jadi dia nak sapu buang. Masa tu jugak, merambu air mata aku. Walaupun dia menderita sakit, dia masih semangat menjaga kebajikan dan kebersihan anak dia.
Hampir 3 bulan Mak kat Hospital Jengka dan selama tu la kami sekeluarga berumah di sana. Semua misi, doktor dah kenal. Selama tu jugalah kami adik beradik jaga Mak, urut dia, bagi makan ubat, mandikan dia, tukarkan baju dan segalanya. Walaupun kami lelaki, jururawat kat situ dah tak kesah. Memulanya, mereka memang tak bagi orang lelaki masuk wad wanita lepas waktu melawat. Kami jumpa doktor dan ketua dia jururawat, mintak kebenaran sebab kami takda adik-beradik perempuan. Kemudian Mak perlukan orang tunggu 24 jam, sebab bila Mak kejang kena ada orang urut dia dan ni lah saja peluang yang kami ada nak balas jasa Mak sementara hayatnya masih ada.
Akhirnya Mak kami bawak balik ke rumah. Sebab Mak kata dia tak nak mati di hospital. Dia nak mati di rumah sendiri. Nak tengok anak-anak dia, suami dia. Mintak dengan doktor, doktor benarkan. Doktor kata, Mak dah takda harapan.
Bila Mak sampai rumah, satu keajaiban berlaku. Mak mintak makan, kemudian ingatan dia normal semula. cuma mata dia je masih kelabu. Dia makan. Kami bagi semua makanan yang dia suka. Apa yang dia sebut kami cari. Kami ambil semua baju baru Mak dan kami pakaikan pada dia. Dia sembang ngan semua orang. Mintak maaf ngan semua sebab terpaksa baring mengiring, sebab perut dia makin membesar.
Lebih kurang seminggu Mak kat rumah, Mak nazak. Hari tu pagi Sabtu. Nafas Mak tersekat-sekat.. Masa tu Mak dah dak boleh bercakap. Suara dia keluar amat perlahan. Kita kena letak telinga kat mulut dia baru dengar.
Tengah hari tu, kami dah tak sampai hati lagi tengok Mak dalam keadaan tu, seksa sangat. Umpama ikan dilempar ke darat. Kami sekeluarga berbincang. Tanya pendapat orang tua dan buat keputusan. Agaknya, hari ni sampailah masa tamatnya penderitaan Mak sekian lama. Kami dah tak sanggup tengok Mak terseksa lebih lama. Kami adik-beradik dan Abah pergi pada Mak. Kami mintak ampun, mintak maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki. Mintak halal makan minum kami, mintak halal air susu yang kami minum.
“Ma.. Emie mintak ampun, mintak maaf segala dosa Emie pada Ma. Dari hujung rambut sampai hujung kaki. Emie mintak halal makan minum Emie selama ni. Emie mintak halal air susu yang Emie minum”, banyak lagi aku nak sebut pada Mak tapi tak terkeluar dari mulut. Ya Allah.. Kenapalah jadi macam ni. Kami kucup dahi Mak.. Kami cium tapak kaki Mak.
Air mata Mak mangalir. Kami letak adik tepi Mak. Bagi Mak cium adik. Sayunya aku tengok. Air mata Mak mengalir bila tengok adik. Kesian adik lepas ni dia dah tak dapat jumpa Mak. Tak dapat merasa kasih sayang Mak. Mak bisikkan sesuatu pada Abah. Air mata Abah mengalir. Inilah seumur hidup aku, aku nampak Abah menangis. Abah kucup dahi Mak.

Kemudian dengan amat terpaksa kami terlentangkan Mak. Aku terpaksa, kami terpaksa. Kami sayangkan Mak. Tak nak seksa Mak. Tak lama lepas tu, Mak sesak nafas. Abah ajar Mak mengucap. Allahhuakbar.. Seksanya menuju kematian.

Innalillahiwainnailaihiro-jiun…..

Ibu tercinta pergi buat selamanya..

Maaf.. Setakat ini sahaja sanggup saya tulis kisah ini.. linangan air mata dan Al-Fatihah sebagai noktahnya.

INGAT!!! IBU KANDUNG HANYA SEORANG SAHAJA DI DUNIA INI. JIKA DAH TIADA, MAKA TIADALAH GANTINYA. SYURGA ITU DI BAWAH TELAPAK KAKI IBU. KEPADA MEREKA YANG MASIH MEMPUNYAI PELUANG, AMBILLAH PELUANG INI, CIUM TANGAN IBU ANDA, MINTAK AMPUN PADANYA. GEMBIRAKAN DIA. AMBILLAH KISAH BENAR YANG SEDIH INI SEBAGAI PEDOMAN HIDUP, HARGAI MEREKA! – 

Sedikit olahan dibuat oleh Karyawanbisu

Sumber asal : Nizarazu

3 comments:

  1. Mak sye ade jual satu produk utk mengubati kanser....name produk J-prune
    Dicipta di syarikat ZBM add sye di facebooj Syed Muzaffar Chelsea gmbt Razer...sye akn post kn video tentangnye..sayu bace...al fatihah

    ReplyDelete
  2. Mak sye ade jual satu produk utk mengubati kanser....name produk J-prune
    Dicipta di syarikat ZBM add sye di facebooj Syed Muzaffar Chelsea gmbt Razer...sye akn post kn video tentangnye..sayu bace...al fatihah

    ReplyDelete
  3. Selamat Hari Ibu, kepada rakan2 yang baca cerita ini mari sama2 kita sedekahkan Al-fatihah kepada arwah ibu penulis ini.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...