Thursday, 25 July 2013

Tiadaku Dinanti, Hadirku Dimarahi..








Pagi itu, aku tidak mampu untuk meneruskan puasaku lagi. Akibat keletihan melawan cirit-birit dari malam tadi, aku benar-benar tidak larat. Mukaku yang putih kelihatan semakin ‘berseri’ kerana kehilangan banyak air dalam badan. Entah apalah yang aku makan ketika berbuka semalam. Setahu aku, apa yang suami makan itulah yang aku makan. Tapi, dia takdelah pulak terkena cirit-birit macam aku. 

‘’ Mungkin Allah ingin menguji aku agaknya,’’ getusku di dalam hati.

Jam 10 malam tadi, selepas siap bertarawih, perutku memulas-mulas. Kesakitan ini tidak hilang setelah sekali aku ke tandas. Bahkan, setelah berkali-kali pun, ia masih degil untuk pergi.

12.00 tengah malam : toilet..
1.30 pagi : toilet..
2.15 pagi : toilet..
3.30 pagi : toilet..

Sehinggalah ke waktu sahur, aku masih ke toilet. Tidurku terganggu dengan ketidakselesaan ini. Terima kasih ku ucapkan kepada suamiku kerana telah memberi segala macam ubat padaku. Bermula dari menelan gugusan pil Chi Kit Teck Aun sehinggalah meminum teh pekat, aku kisar semuanya dalam perutku. Namun natijahnya.. negatif.

9.30 pagi. Dalam ketidaklaratan ini, aku gagahkan jua badan untuk berdiri, menyiapkan makanan si manjaku, Aufa Izzati. Umurnya yang mencecah 1 tahun 3 bulan, memerlukan bekalan tambahan untuk dia membesar. Jika hanya berbekalkan kalsium dan zat susu badanku, ia memang tidak cukup untuk mengenyangkan dia. Suamiku? Suamiku terpaksa ke pejabat hari ini kerana dia perlu menghadiri meeting penting.

‘’ Takpelah sayang. Mama akan kuatkan diri ini untuk siapkan makanan sayang. Aufa jangan risau ye,’’ kataku padanya. Walhal, itu adalah ayat motivasi buat diriku agar aku gagah untuk bertahan.

Bagi mengelakkan Aufa mengganguku di dapur, aku lekakan dia dengan Finding Nemo, animasi kesukaannya di ruang tamu. Di samping itu, aku bekalkan dia dengan sebotol air masak dan biskut Baby Bites. Aku berharap, dengan cara ini, dia dapat bersabar menunggu juadahnya sebagaimana aku bersabar menghadapi sakitku.

Cara hanya tinggal cara. Selang beberapa minit, dalam rengek tangisannya, dia datang menghampiri aku di dapur. Betullah kata orang tua ; anak kalau diberi susu badan, dia akan rapat dengan kita. Kehilangan kita, jika tak nampak pada pandangan matanya, dia akan menangis. Itulah yang terjadi kepadaku. Aufa amat ‘pantang’ jika berpisah denganku walau seketika. Walau aku di dapur dan dia di ruang tamu tengok cerita. Apa yang dia nak, aku mestilah menonton bersamanya. Kalau macam tu, macam mana aku nak buat kerja. 

‘’Hmmmhhhhhh.. ,’’ keluhku lemah.

‘’ Aufa tengoklah cerita tu sorang-sorang kejap. Mama nak siapkan makanan Aufa ni..,’’ pintaku lembut.

Lembut suara ini tidak memberikan sebarang kesan padanya. Tangisannya diteruskan malah semakin kuat. Nak tak nak, aku terpaksa turutkan kemahuannya. Sambil menahan kesakitan, aku dukung dia dan bawa ke depan. Setelah dia reda, khusyuk dan ralit.. Aku kembali ke dapur. Menyiapkan tugasan yang tertangguh.

Berbekalkan cebisan kudrat yang masih ada, aku tanak seperiuk kecil bubur buatnya. Aku gerakkan kaki ini dengan langkahan-langkahan kecil. Aku capai hirisan-hirisan daging ayam, lobak dan kentang di atas sinki. Belum sempat aku gaulkan sekali, dia datang kembali. Dengan botol air kecil ditangannya, dia menangis. Menangis kerana mahukan aku di sisi. Begitulah seterusnya. Diriku yang telah layu ini semakin kuyu dek melayan karenahnya. Sehinggalah..

Kali itu, apabila dia masih lagi terkedek-kedek ke dapur berserta esak tangis sandiwaranya, sabarku yang senipis kulit bawang ini semakin tenggelam. diriku hilang kawalan.
Ketika dia datang merengek rayu, berpegang pada betisku, amarahku menguasai diri. Aku sentap kuat bahunya memisahkan dia dengan aku. Dengan sekuat hati, aku jerit menyebut namanya

‘’AUFA !!! KAN MAMA DAH CAKAP. PERGI DEPAN. JANGAN KACAU MAMA. KENAPA SUSAH SANGAT NAK FAHAM NI ??!! ’’

Serentak dengan tengkingan itu, satu tamparan sudip kayu aku ‘hadiahkan’ pada pehanya. Dia melalak. Meraung kesakitan bersama kekecewaan. Aku biarkan. Biar dia tahu aku amat ‘tension’ melayannya.  

Kerusi aku tarik. Aku duduk sambil mukaku ku tutup. Aku cuba untuk menenangkan diri yang totally lost sebentar tadi. Aufa yang masih lagi menangis, perlahan-lahan berjalan ke depan, masuk menuju ruang tamu. Botol air di tangannya tidak dilepaskan. Dalam tangisan, dia memaksa dirinya melihat usaha seekor bapa penyayang mencari anaknya yang hilang diculik orang.

Setelah aku bertapak kembali ke alam nyata, aku masuk mendapatkan Aufa. Tangisannya yang tadinya bingit, beransur suram tetapi masih tidak hilang. Mungkin sakit akibat pukulanku tadi masih berbekas di hatinya. Hatiku sayu melihatkan keadaannya. Aku dakap jasad kecil itu sambil memujuknya.

‘’ Shhhh.. Dah sayang.. Jangan nangis.. Dahhh... Tu lah Aufa, bila mama cakap, Aufa tanak dengar. Degil. Bila mama marah, macam ni lah jadinya. Mama dah la tak larat ni. Mama tak sihat sayang.. Aufa tolonglah faham mama ya.. ‘’ ucapku menjelaskan situasi tadi. Biarpun mungkin dia tidak faham apa yang aku katakan, sekurang-kurangnya ia dapat melegakan aku, melepaskan diri dari kesilapan aku memarahinya.

Tanganku gosok pada pehanya. Lama. Akhirnya, dia berhenti menangis tapi masih teresak-esak. Aku baringkan dia. Aku berikan dia susu badan. Cepat-cepat dia minum. Takut aku memarahinya lagi. Ketika asyik dia menyusu, aku selak seluarnya. Ya Allah.. merah. Hatiku yang tadinya sayu meruntun syahdu.

‘’ Kuatnya aku pukul dia.. ‘’

Air mataku mula bergenang. Menyesalnya aku dengan tindakan memukulnya tadi. Bukankah cukup untuk aku menegkingnya sahaja? Kenapa sampai memukul?

Air yang tadinya bergenang akhirnya tumpah. Panas. Lantas menimpa ubun-ubun lembut kepala Aufa. Aku tak mampu untuk menahan sebak hati ini lagi. Aku teresak-esak. Menangis mengenangkan sikapku yang keterlaluan sehinggalah menjadikan Aufa penebusnya.

Esak suaraku menyedarkan Aufa yang sudah hampir terlena. Tanpa aku sedari, tangan kecilnya menepuk-nepuk dadaku.. Seolah-olah memujukku agar berhenti menangis.

‘’Ya Allah.. Ampunilah dosaku.. ‘’ :,(


****************************

Inilah kita. Apabila Allah tidak memberikan rezeki anak kepada kita, kita akan berdoa, memohon, merayu kepada-Nya agar dikurnikan anugerah berharga itu. Tetapi, bilamana Allah menghadiahkan mereka kepada kita.. Apa yang kita lakukan?

Kita marah mereka bila mereka buat salah. Kita pukul mereka bila mereka tak dengar kata. Adakah permintaan kita kepada Allah suatu ketika dahulu agar dikurniakan anak adalah semata-mata untuk dimarahi? Atau melepaskan kegeraman yang bersarang di hati?

Ingatkah kita akan apa yang diajarkan oleh Rasulullah saw tentang cara mendidik anak kecil? Ketika anak berumur 1-7 tahun, Rasulullah menyuruh kita untuk memanjakan, mengasihi dan menyayangi mereka dengan kasih sayang yang tidak terbatas. Biarkan mereka bermandikan kasih sayang. Bukan dihujani dengan tengkingan dan pukulan.

Wahai ibu bapa sekalian, di sini ingin saya nasihatkan diri saya agar kembali meneliti dan menghisab cara kita mendidik anak-anak. Adakah bertepatan dengan nilai Islam atau jauh terpesong di persimpangan.


Ingatlah, anak-anak kita adalah amanah dari Allah. Mereka ibarat kain putih yang tiada tercemar. Andai kita conteng kain itu dengan semburan yang menyakitkan mata, maka kain buruklah jadinya. Tetapi, seandainya kita lukis ia dengan corak yang beralun cantik, ia akan menjadi sehelai kain sutera. Bukan sutera biasa, tetapi sutera yang bakal menyelamatkan kita dari sambaran api neraka seterusnya menjadi asbab kita dimasukkan ke syurga.  

---------------------------------------------
Hak cipta terpelihara KARYAWANBISU. Sebarang copy paste atau plagiat hendaklah ditulis sumbernya. Harap mendapat kerjasama dari anda. 

3 comments:

  1. Betul tu . Anak itu anugerah Allah yg tidak ternilai . Suka sgt baca setiap entry karyawanbisu ni
    . Tak sabar nak tunggu entry yg seterusnya .

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tocey tocey puan suhadha atiqah =). masa nak mengarang skrg ni dh sempit sangat. tak macam dulu. InsyaAllah.. one day.. i ll post a new one.. God will :)

      Delete
  2. sudah jatuh chenta kat blog nie. terima kasih.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...