Nama aku Ibrahim. Aku dilahirkan oleh seorang mak yang pada aku dia sangat sukar untuk memahami hati orang lain. Ayah? Aku tak tahulah dia di mana. Dia menghilangkan diri sejak aku berumur lima tahun. Kami lima beradik dibesarkan oleh mak. Mungkin dengan sebab ayah tak ada, aku menjadi seorang yang nakal, degil dan cepat memberontak.
Bermula dari sekolah rendah, aku menjadi seorang yang tak suka belajar. Kalau ke sekolah, kerja aku ialah mengacau dan mengganggu kawan-kawan. Bertumbuk dan bergaduh sudah menjadi 'makanan ruji' aku. Dan setiap kali itu, mak akan dipanggil untuk datang ke sekolah.
Keadaan yang sama juga berlarutan bila aku di sekolah menengah. Malah, kenakalan aku semakin menjadi-jadi. Ponteng kelas, lawan cakap cikgu, merokok, tak payah cerita. Itu semua perkara biasa bagi aku. Dan untuk kesekian kalinya, mak dipanggil lagi.
Bila mak nampak aku kat rumah, mak terus marah-marah
"Ibrahim..!! Kau lari dari pondok ye?!"
"A ah. Orang tak suka duduk kat pondok tu. Bosan. Tak kena dengan jiwa orang"
"Ibrahim, kau kalau tak buat masalah kat mak tak boleh ke?! Dari dulu sampai sekarang, tak habis habis.."
"Mak bagi kau dua pilihan. Sama ada kau balik semula ke pondok atau kau keluar dari rumah ni"
"Mak memang susah nak faham orang. Mungkin sebab tu lah, ayah pun lari tinggalkan mak sorang sorang"
"Ibrahim!!" Tengking mak. "Kau keluar dari rumah aku sekarang. Keluar!! Aku tanak tengok lagi muka kau kat sini. Mulai dari hari ini, kau bukan lagi anak aku. Keluarrrr..!!"
Berbekalkan hati yang panas membara, aku ambil beg dan keluar dari rumah mak. "Aku takkan jejakkan kaki aku lagi ke rumah buruk ni. Apa nak jadi, jadilah," dendam aku pada mak.
Aku menuju ke bandar. Mencari kerja di sebuah restoran. Nasib aku baik. Aku diterima sebagai tukang cuci pinggan. Bilik untuk pekerja pun tokey sediakan. Aku taktahulah dari mana datangnya semangat bekerja aku. Mungkin sebab kerana terpaksa dan nak survive, aku kerja betul-betul. Dari pencuci pinggan, aku dinaikkan pangkat menjadi pemotong bawang. Dari situ, aku belajar cara-cara nak masak. Akhirnya, aku dilantik menjadi tukang masak utama. Tokey puji sebab ramai pelanggan yang suka hasil masakan dari air tangan aku.
10 tahun masa berlalu. Dengan bakat yang aku ada, aku kini bekerja di sebuah restoran ternama di ibu negara. Di sana, aku mula mengukir nama. Dan semakin lama, aku semakin dikenali.
Suatu hari, aku mendapat tawaran kerja di sebuah hotel di kepulauan Sri Lanka. "Aku takda apa-apa kat sini. Baik aku terima je. Gaji pun lumayan" aku mengomel sendirian.
Bila sampai kat sana, aku dimaklumkan bahawa menu istimewa di sini ialah makanan eksotik berupa otak kera. Boss nak aku masak otak-otak kera ni kerana permintaannya amat tinggi. Aku tak kisah. Janji gaji aku kau bayar, tugasannya akan aku bereskan.
Kera-kera di sana bukan macam kera kat Malaysia. Kera dia kecik je. Kera dewasa dia sebesar anak kera kita. Memang kecil.
Selama 6 bulan berada di sana, haritu aku terdetik nak tengok bagaimana cara mereka tangkap kera-kera kecil ni. "Senang sangat ke..?" soal aku sendirian.
Esok tu, aku bagitahu supplier aku nak tengok cara mereka tangkap kera-kera ni. Dia setuju. Lalu, aku dibawa ke satu kawasan yang dipenuhi pokok kelapa. Di situ juga, banyak botol-botol minyak enjin motosikal dikumpul. Aku tanya dia nak buat apa ni? Dia cakap, dalam botol tu ada kacang rebus. Bila kera tu datang, dia akan celupkan tangannya untuk ambil kacang. Dan lubang botol tu memang ditebuk muat-muat je tangan si kera untuk masuk secara lurus. Jadi, bila dia dah genggam kacang yang ada kat dalam botol tu, tangan dia takkan lepas untuk ditarik keluar. Jadi senanglah nak tangkap.
Dan memang betul. Tak sampai lima minit setelah botol tu digantung di setiap batang pokok kelapa, ratusan kera datang menyerbu. Yang datang bawa anak pun ada. Bilamana tangan mereka dicelup, gotcha.. Tak boleh ditarik keluar.
Dalam keadaan kelam-kabut suara kera berteriak meminta tolong, aku jerit pada mereka "Woi kera!! Lepaskan kacang tu. Nanti kau akan ditangkap dan dibunuh. Lepaskan kacang tu. Lepaskan..!!" Tapi kera tu mana faham.
Ketika aku sibuk mengarahkan kera-kera itu melepaskan genggaman tangannya, saat itu juga, seperti panahan petir menyabung kepalaku, aku seakan baru tersedar bahawa apa yang dilakukan kera itu sama seperti apa yang aku lakukan pada mak aku. Sukar untuk melepaskan genggaman 'dendam kemarahan' aku terhadapnya. Allah!! Apa yang telah aku lakukan. Mak..!! Maafkan aku..
Selagi masa masih ada, aku tidak mahu memegang status anak derhaka ini untuk selamanya. Pada hari itu juga, aku kemaskan barang dan aku tempah tiket kapal terbang untuk pulang ke Malaysia. Boss marah? Aku tak peduli. Jika dia nak buang aku terus pun aku tak kisah. Sungguh. Saat itu aku amat rindukan keampunan dari mak lebih dari segalanya. Selama lebih 10 tahun ini, aku tak ubah seperti menggali lubang nerakaku sendiri, mempertahankan amarahku sama seperti si kera yang mempertahankan segenggam kacang walhal kepalanya akan dicincang.
Bila aku sampai kat kampung, aku tengok rumah mak sunyi. Sepi. Tidak berpenghuni. "Mak dah 'takda' ke..??" "Takkkk.. Makkk.. Makkk.. Jangan tinggalkan Ibrahim dulu.. Ibrahim balik nak minta maaf.. Makkk.. Ibrahim minta maaf.." Rintih aku di depan pintu rumah mak. Namun semuanya hampa. Jawapannya tetap tiada.
"Ibrahim. Kau ke tu?" tegur satu suara dari rumah sebelah.
Ya. Aku kenal suara tu. Aku kenal. Aku toleh ke kiri dan aku dapati dia adalah kakak sulungku.
"Kak.. Mak mana..?" tanyaku sayu
"Mak tak ada Him.." jawabnya ringkas
"Kak.. Mak pergi mana? Mak mana..?" Aku yang dah tak mampu menahan sebak, terduduk, sambil menangis, berlinangan air mata. Tanganku menarik-narik tombol pintu rumah mak, mengharapkan dia keluar menyambut kepulanganku.
Kakak cuba menenangkan aku. "Sabar Him. Mak ke rumah Ina. Jaga dia berpantang. Esok, mungkin mak balik. Marilah duduk rumah kakak dulu"
Lega hati aku bila kakak menerangkan segalanya. Tapi, aku menolak pelawaan kakak untuk bermalam di rumahnya. Sebaliknya, aku membina sebuah khemah, betul-betul di hadapan pintu rumah mak, menunggu kepulangannya.
Keesokkan harinya, lebih kurang pukul 10 pagi aku agak, aku nampak kelibat tua badan mak, sedang menolak basikal kayuhannya. Bila aku nampak mak, aku terus berlari menerpa mendapatkannya.
"Makkk.. Ibrahim minta maaf mak.. Ibrahim banyak buat salah pada mak.. Maafkan Ibrahim.. Maafkan Ibrahim.." rayu aku sambil memeluk batang betis mak.
Aku menangis. Menggoncangkan kakinya, mengharapkan dia bersuara menyebut kalimah keramat "Mak maafkan kamu". Namun, suara itu tak aku dengari.
Hampir 10 minit aku melutut di kakinya. Mak seolah-olah tidak berperasaan. Sedikitpun dia tidak menunjukkan reaksi apabila melihat anak yang 10 tahun ini meninggalkannya dulu, kini kembali merintih mengharapkan kemaafan darinya.
Setelah merasakan mak takkan berkata apa-apa, aku kemudian melepaskan kakinya. Dan mak terus berlalu pergi dari situ, masuk ke rumah dan tutup pintu.
"Takpe mak. Ibrahim tahu Ibrahim salah. Ibrahim takkan paksa mak untuk memaafkan Ibrahim. Tapi, Ibrahim takkan berganjak dari rumah mak ini selagi mak tak ampunkan Ibrahim" tekad aku kali ini
Hari-hari aku lalui dengan menanggung kepanasan yang amat. Berkhemah di bawah terik mentari bukanlah satu idea yang bernas. Tapi aku gembira. Sebab aku dapat curi-curi lihat wajah tua mak bila dia keluar menjemur baju. Oh! Bahagianya.. Wajah itu amat aku rindu.
Selama seminggu, mak 'seksa' aku begitu. Aku tak kesah. Janji aku dekat dengan mak, itu sudah memadai.
Sampailah pada suatu hari.. aku kira itulah hari yang paling bahagia buat diriku.. Bila mak datang menjenguk aku di dalam khemah.
Aku yang ketika itu sedang berbaring, bingkas bangun dan berdiri. Memeluk jasad mulia mak. Aku menangis. Menangis semahunya. Teresak-esak seperti seorang bayi yang baru menemui ibunya ketika dia dilahirkan ke dunia. Mak menepuk-nepuk belakang aku, meredakan tangisanku. Aku salam mak dan aku cium kedua belah pipinya. Aku nampak air mata mak mengalir bila aku berbuat demikian.
Mak kemudian memapah badan aku yang sudah longlai tidak bermaya. Mengajak aku masuk ke dalam rumah. Mak masak lauk kegemaran aku. Tumis ikan. Inilah masakan yang paling sedap. Masakan hasil air tangan mak.
Setiap saat selepas aku diterima mak, aku abdikan diri aku sepenuhnya pada dia. Baik dari sediakan makanan, kemas rumah, lipat baju, sapu sampah.. Semuanya aku buat. Aku jadikan mak umpama seorang permaisuri. Berehat di singgahsana sambil memerhatikan 'khadamnya' membuat kerja.
Suatu petang, ketika aku mengurut kaki mak, aku suarakan hasrat hati aku padanya "Mak.. Boleh tak kalau Him nak mintak sesuatu dari mak..?"
"Apa dia Him. Cakaplah. Kalau mak boleh tunaikan, mak buat. Kalau tak boleh, mak minta tolong pada kakak dan adik-adik kau"
Lihatlah. Betapa sucinya hati seorang ibu. Dia tak akan cakap tak boleh walaupun perkara tu kadang-kadang dia memang tak mampu nak tunaikan. Tapi, dia akan cuba jugak buat, biarpun terpaksa menebalkan muka meminta bantuan orang lain. Allahu..
"Him nak mak doakan Him untuk jadi seorang yang kaya. Tu aje. Boleh ke mak..?"
"Him nak mak doakan Him untuk jadi seorang yang kaya. Tu aje. Boleh ke mak..?"
Mak hanya memandang dan merenung wajah aku. Selepas itu, perlahan dia mengangguk sambil tersenyum.
"Terima kasih mak" balasku terharu.
Malam itu, masa aku keluar nak ke dapur, aku dengar sedu suara mak merintih sayu. Sebab nak tahu kenapa, aku amati setiap patah kata mak. Rupa-rupanya, mak tengah berdoa..
"Ya Allah.. Anakku Ibrahim telah pulang ke pangkuanku. Dan dia amat menyenangkan aku. Ya Allah.. Demi sifat Pemurah dan Kekayaan yang ada pada-Mu, ku pohon agar Kau jadikanlah dia seorang yang kaya dengan harta dunia dan kaya dengan pahala akhirat.. Amiiin.."
Dalam diam, aku mengaminkan doa mak. Sambil diiringi air mata yang berlinangan, aku juga mendoakan agar mak sentiasa dirahmati Allah. Bukan malam tu saja. Aku peratikan, setiap malam bilik mak pasti terang. Tak jemu dia bangun mendoakan diri aku.
Tak lama lepas tu, aku mendapat tawaran kerja sebagai penjual insuran. Tak jauh. Pinggir bandar berdekatan kampung aku je. Mak izinkan aku bekerja. Aku kerja sungguh-sungguh. Di situ, aku dipertemukan jodoh dengan isteri aku. Mak gembira sekali.
Berkat kesungguhan, kerajinan dan doa dari mak, aku dilantik menjadi Manager syarikat. Dan aku dikehendaki menguruskan cawangan di ibu kota. Berat untuk aku terima. Namun, mak nasihatkan aku untuk pergi juga. Aku ajak mak ikut aku sekali. Tapi mak enggan. Dia kata dia lebih selesa tinggal di kampung. Aku tak boleh nak kata apa. Tapi, sebelum berangkat pergi, aku pesan pada mak..
"Mak.. Kalau ada apa-apa, mak telefon je Him terus. Him akan balik segera jumpa mak. Walau apa keadaan sekalipun" janji aku pada mak. Mak angguk bersama matanya yang dah berair.
Masa bekerja kat sana, hari minggu je aku akan balik ke kampung jumpa mak. Biarpun mak tak telefon suruh aku balik. Tak tahulah, hati aku begitu rindu pada dia melebihi segalanya.
Pernah satu hari tu mak telefon aku. Mungkin dia nak uji aku. Dia cakap, dia nak makan belacan Melaka. Dia taknak aku buat balik untuk dia. Sebaliknya, dia sendiri nak pergi beli kat sana. Aku terus EL haritu dan pergi ambil mak kat kampung bawa dia pergi Melaka.
Sampaikan isteri aku merajuk, sebab aku sentiasa lebihkan mak. Dan bagi aku senang je. Aku cakap kat dia
"Awak kalau suka hidup dengan saya, awak ikut saya. Tapi, kalau awak tak suka, saya boleh hantar awak balik rumah mak ayah awak"
Prinsip aku, ramai wanita lain yang boleh dijadikan isteri kalau dia taknak. Tapi mak, mak aku hanya satu. Kalau dia tiada, takkan ada yang mampu menggantikannya.
Di akhir hayat mak, mak jatuh sakit. Dia diserang angin ahmar. Strok sebelah badan. Muka mak senget sebelah. Peluang tu, aku manfaatkan sebaiknya. Aku jaga mak betul-betul. Dan aku ingat lagi kata-kata terakhir mak pada aku, yang aku takkan lupa sampai bila-bila..
"Himm.. Mak redha kamu sebagai anak mak. Dan mak halalkan segala air susu mak yang mengalir dalam badan kamu. Mak minta maaf atas segala kesalahan mak pada kamu.."
Dalam payah dan tergagap-gagap mak minta maaf pada aku. "Makkk.. Mak takda salah pada Him. Him yang banyak buat salah pada mak.. Him sayang mak.. Him taknak berpisah dengan mak.." Sahut aku sambil menyapu air mata mak. Masa tu, aku dah menangis-nangis di sisi mak.
Akhirnya, mak melafazkan syahadahnya di pangkuan aku. Aku getap bibir aku dan aku kacip gigi aku. Agar aku tidak meraung, meratapi pemergian mak.
Sehingga hari ini.. Wajah arwah mak sentiasa terbayang difikiran aku. Al-fatihah buat ibuku, Kalthum binti Talib. Semoga dirimu aman di sana..
P/S : Ingatlah anak-anak.
Sekiranya kesalahan itu datang daripada kita, wajib kita meminta maaf segera daripada kedua ibu bapa kita. Dan sekiranya kesalahan itu datang daripada mereka, wajib kita menegurnya dengan cara berhemah tanpa melukakan hati mereka. Sekiranya mereka terasa, kita yang berdosa..
Darjat kedua mereka amatlah tinggi. Tidakkan terbalas biarpun kita mengabdikan sepanjang hayat kita ni kepada mereka. Berbaktilah kepada mereka selagi mereka masih ada. Taatilah perintahnya. Kasihilah keduanya. Kerna, tanpa doa dan redha mereka, hidup kita takkan bermakna..
so touching......
ReplyDelete