Wednesday, 1 October 2014

Maafkan Mama Sayang..


"Kakak sayang Mama sampai bila-bila."

Masih terngiang-ngiang patah perkataan itu. Seolah semalam kejadian itu baru berlaku. Sungguh, jika mampu diundurkan waktu, saya tidak mahu apa-apa dari dunia ini. Melainkan dirinya. Seorang anak yang baik.. Yang menyenangkan.. Yang menggembirakan hati sesiapa sahaja yang mengenalinya.

********

Kakak dibesarkan tanpa bapa. Ayahnya lari meninggalkan dia sejak dia berusia setahun. Alasannya, bosan dengan kemiskinan.

Sejak itu, sayalah yang membesarkannya. Sayalah ayah dan ibunya. Apa-apa sahaja, saya akan lakukan bersamanya. Baik berborak, bercerita, bermain, bergurau senda hatta meluahkan perasaan.. Saya akan kongsikan dengannya. Mungkin dengan sebab itulah, dia cepat matang dan petah berkata-kata, walaupun usianya baru mencecah empat tahun.

Saya bekerja sebagai pembantu di restoran Pak Jali. Pak Jali adalah jiran merangkap tuan rumah sewa saya. Isterinya Cik Muya merupakan seorang yang lemah lembut dan kasihkan kanak-kanak. Tidak hairanlah, jika dia sendiri yang menawarkan diri untuk menjadi pengasuh kepada kakak ketika saya bekerja.

Seawal jam 5.00 pagi, saya akan bangun, bersiap-siap untuk ke tempat kerja. Setiap kali saya terjaga, kakak juga akan turut terjaga. Kami akan menunaikan solat Subuh bersama. Selesai solat, saya akan berpesan kepadanya. Pesanan semangat agar dia sentiasa kuat.

"Kakak.. Biarpun hidup kita ni susah, kita jangan sesekali mengalah, mengeluh, bersedih dan menangis. Sebab apa sayang..? Sebab Allah tak suka..

Sebaiknya, kita kena sentiaaasa senyum. Kerana senyuman itu adalah sedekah. Dan Allah amat sukakan orang yang bersedekah.."

Dia angguk perlahan tanda faham.

Saya akui, kakak merupakan seorang anak yang bijak. Dia begitu menyenangkan. Biarpun miskin, saya tidak merasai kesusahan untuk membesarkannya. Dirimu adalah anugerah terindah untuk mama sayang..

"Kenapa mama panggil kakak, kakak?"

Saya masih ingat soalan tu. Kalau boleh, saya taknak mengenangkan peristiwa silam tu lagi. Tapi hati ini seolah tidak tenang bila saya sembunyikan perkara itu darinya.

"Dulu.. Kakak ada adik dalam perut mama. Tunggu masa je kita nak jumpa dia.. Tapi.."

Saya berhenti seketika sebelum menyambung dengan air mata.

"Tapi, Allah lebih sayangkan adik.. Dia dah jemput adik terlebih dahulu.."

Saya menangis semahunya. Tidak mampu lagi ditahan rasa sedih itu. Cukuplah sekadar itu jawapan yang kakak tahu. Tak usahlah dia mengetahui bahawa ayahnyalah penyebab adiknya meninggal. Saya keguguran akibat ditolak kasar.

"Dah mama.. Jangan nangis lagi.. Allah tak suka tengok kita sedih-sedih.. Allahkan suka tengok kita senyum walaupun kita susah.."

Pujuk kakak pandai. Suaranya yang lembut, menyedarkan saya dari terus mengelamun, mengimbau kesedihan mimpi ngeri lepas. Tuntas, saya dakap kakak kemas.

Hinggalah pada suatu hari, saya bertemu dengan seorang lelaki, Razman. Dia cukup sempurna di mata saya. Berpewatakan menarik dan tidak lokek dengan hartanya. Perkenalan singkat antara kami telah membuahkan bibit-bibit cinta.

Namun, dalam meniti saat indah alam percintaan itu, kakak seolah-olah tidak meredhai hubungan saya dengannya. Dia akan sentiasa mencari 1001 alasan untuk pulang awal apabila kami dibawa keluar.

Suatu hari tu, dia buat perangai lagi.

"Mama.. Jom balik. Kakak rasa macam nak demamlah. Tekak kakak sakit.."

Saya yang sedang memilih baju raya untuknya terus berhenti. Saya letakkan tangan ini di dahinya.

"Tak panas pun? Kakak kejaplah. Ni Uncle Razman nak belanja kakak baju raya tau. Siap pilih ni, kita balik ye.." Pujuk saya bagi meredakan ketidakselesaannya.

"Kakak taknak.. Kakak taknak.. Kakak nak balik.." Ulangnya berkali-kali.

Huh!! Masa tu, bila dia dah tak nak dengar cakap saya, api kemarahan saya terus membuak, lalu meletus menyambar kakak.

"Kakak ni kenapa?!! Mama dah lama bersabar dengan kakak!! Kakak boleh tak dengar cakap mama sikit!! Kalau kakak nak balik, pergi balik sendiri!! Jalan kaki!! Mama taknak ambil tahu lagi pasal kakak!!"

Suara saya tinggi. Saya sedar, semua mata tertumpu pada saya. Ahh..!! Pedulikan. Anak kecil ini mesti diajar. Jika tidak, sampai ke besar sikap melawannya terbawa-bawa.

Kakak hanya diam. Sedikitpun dia tidak menangis. Razman yang menyedari ketegangan itu datang menenangkan saya. Dia ajak saya balik. "Biarlah, kita belikan baju kakak kemudian je lah.."katanya.

Semenjak mengenali Razman, saya amat jarang ke restoran Pak Jali. Malas. Sementelah, Razman mampu memberikan saya segalanya. Dia pun dah berjanji ingin berkahwin, sehidup semati dengan saya.

Keadaan itu membuatkan saya ditegur oleh Cik Muya.

"Anisah.. Sejak kau berkawan dengan si Razman, Acik perasan kau dah banyak berubah. Restoran pun kau dah jarang pergi. Kakak pula kau tak hiraukan. Kasihan dia. Berubahlah Anisah.."

Nasihat Cik Muya sedikitpun tidak memberikan kesan kepada saya. Bagi saya, tiada kesalahan yang saya buat. Apa yang saya inginkan hanyalah sebuah kehidupan yang lebih selesa.
Dan semua itu ada pada Razman. Dialah segalanya bagi saya.

Masa berlalu pergi.

Malam tu, saya dibawa Razman ke 'tempat kerjanya'. Sunyi. Namun, di bawah sinar neon, jelas saya dapat melihat, Razman melakukan urusan jual beli dadah.

Ketika dihantar pulang, saya sedikitpun tidak bersuara. Rasa tidak percaya membuatkan saya diam. Inilah Razman. Baik di luar buruk di dalam. Mengenalinya satu kerugian.

"Anisah.. You must help me. You kena pujuk jugak kakak. Paksa dia telan tiub-tiub dadah ni. Sampai Thailand nanti, kita keluarkan. Sama ada ikut jalan atas atau bawah"

Saya masih diam. Kelu membisu.

"You janganlah risau sangat. I dah lama buat kerja ni. Kawan-kawan I semua selamat. Takda yang tertangkap pun. Rancangan ni memang menjadi. Lebih-lebih lagi kalau budak yang telan. Diorang takkan perasan"

Kata-katanya tidak mampu menenangkan saya. Apa yang terpapar di fikiran saya ketika itu hanyalah wajah kakak. Rupa-rupanya, kakak ada sebab kenapa dia tidak sukakan Razman. Hanya saya yang buta kerana terlalu mengagungkan cintanya.

Setibanya di rumah, saya terus mendapatkan kakak yang telah lena di rumah Cik Muya. Saya dukung dia. Biarpun begitu, tangannya masih menggengam erat selimut milik saya. Ternyata, dia begitu merindui saya. Tapi saya, sedikitpun tidak mempedulikan kerinduannya itu. Bersama air mata dosa, saya menangis teresak-esak memeluknya.

"Kakak.. Maafkan mama sayang..”

Bermula dari malam tu, saya tidak lagi menghubungi Razman. Saya hanya memaklumkannya melalui SMS bahawa saya tidak dapat membantunya dan tidak akan melaporkan kegiatannya itu kepada polis.

Satu Syawal. Keheningan paginya menenangkan saya. Kakak juga. Wajahnya ceria sekali, mungkin disebabkan saya telah kembali kepangkuannya. Namun, di sebalik kebahagiaan itu, saya dapat rasakan kelainan pada diri kakak. Walaupun nampak normal, tapi entahlah.. Saya merasakan seperti ada yang tak kena.

"Mama.. Boleh tak kalau kakak nak suap mama pagi ni?" Pohonnya manja

Saya hanya mengangguk. Senyum.

Dia lalu mengambil sekeping roti dan disapukan kaya padanya. Tatkala dia menyuap roti tersebut ke mulut saya, dia berkata..

"Kakak rindukan mama.."

"Dan.."

Belum sempat dia menghabiskan bicaranya, pintu rumah saya dipecahkan. Ya.. Razman datang dengan kemarahan.

Saya panik. Kakak juga panik. Razman seolah tidak mampu diredakan. Dia mengamuk bagaikan anjing yang kelaparan.

Bila mata kami bertentangan, Razman lantas menerpa dan menumbuk muka saya.

"Kenapa kau tak jawab call aku?! Hoi perempuan !! Ini Razman lah. Bila aku kata aku nak, aku akan dapatkannya juga. Tak kiralah walau apa pun yang terjadi!!"

Tengkingnya pada saya. Saya yang sudah terbaring cuba melawan. Tapi kudrat saya semakin berkurang. Kepala dan telinga saya berdarah. Saya mulai mamai. Menunggu masa untuk pitam.

Dalam kesamaran itu,, saya nampak kakak datang ingin menyelamatkan saya. Dia menggigit lengan Razman sekuat hatinya. Akibat kesakitan, kakak dilempang. Kuat. Terdampar dia di sebelah saya.

Kakak berusaha merangkak untuk mendapatkan saya. Berjaya. Tuntas, dia berbisik menyambung kata-kata bicaranya tadi.

"Kakak.. sayang mama.. sampai bila-bila.."

Allah.. Saya tidak mampu berbuat apa-apa melainkan terus menangis, memohon simpati dari Razman.

Namun, harapan hanya tinggal harapan. Kakak ditarik kasar oleh Razman. Lama-kelamaan, pandangan ini semakin berkurang. Suram menghampiri kelam. Bila jasad kakak tidak lagi kelihatan, saya pengsan.

Sedar tak sedar, saya telah berada di pangkuan Cik Muya. Melilau saya mencari kakak. Namun hampa. Kakak tiada. Saya ceritakan kepada Cik Muya dan Pak Jali apa yang terjadi. Bergegas selepas itu, kami ke balai polis membuat laporan.

Dua hari penantian saya penuh penyeksaan. Sehinggalah akhirnya, saya dimaklumkan Inspektor Azlan bahawa pihaknya telah menjumpai sekujur jasad kecil mirip kakak di sempadan Thailand. Lantas, saya dibawa ke sana.. Dalam perjalanan, tak putus-putus saya panjatkan doa agar itu bukanlah kakak. Kakak masih hidup. Dia selamat.

Setibanya di sana, saya meluru mendapatkan jasad kecil itu. Ia sudah kaku. Keadaannya sungguh menyayat hati. Lehernya terkesan lebam cekikan. Nadinya putus ditoreh objek tajam. Perutnya terbelah menampakkan organ dalaman. Pihak Forensik memaklumkan, semua itu dilakukan untuk mendapatkan tiub-tiub dadah yang ditelan kakak.

Pada mulanya, saya tidak percaya itu adalah kakak. Namun, setelah saya mengamati senyuman yang terukir di bibirnya, saya tahu ia adalah milik kakak. Saat itu juga, saya rangkul jasad kecil itu. Saya peluk. Saya dakap. Saya cium dia. Saya menangis, meratap menyebut-nyebut namanya. Dia adalah anak saya. Kakak.. Yang sentiasa menyayangi saya biarpun saya tidak mempedulikannya..

"Kakak.. Tolong jangan tinggalkan mama. Mama minta maaf. Mama datang harini untuk ambil kakak duduk dengan mama.. Kakak.. Jangan tinggalkan mama..!!" raung saya.

Segalanya bagaikan terhenti ; detik waktu, deru angin, kicau burung, lintasan fikiran hatta angan-angan. Semuanya pergi meninggalkan saya mengiringi kakak. Serta merta saya rebah, pengsan memeluk jasadnya.

Kini, saya berada di belakang tirai besi. Menjalani hukuman penjara 25 tahun kerana bersubahat dengan Razman. Biarlah. Penjarakanlah saya yang sudah sedia mati ini. Saya redha.

"..Sungguh, jika mampu diundurkan waktu, saya tidak mahu apa-apa dari dunia ini.. Melainkan dirinya.. Seorang anak yang baik.. Yang menyenangkan.. Yang menggembirakan hati sesiapa sahaja yang mengenalinya.."

Al-Fatihah buat kakak,
Fatimah Nursheila Bt Aminuddin
2010-2014

2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...