Friday 12 July 2013

Kekasihnya Adalah al-Quran



Seorang lelaki melewati sebuah kawasan perkuburan di suatu malam yang kelam dan sunyi. Tiba-tiba, dia terpandang suatu cahaya yang terang benderang yang muncul dari sebuah kubur, dan terus menjulang ke langit. Dia merasa sedikit ketakutan dan berdebar.

Terpegun dan kaku melihat kejadian itu, dia terfikir kemungkinan kubur ini adalah kubur seseorang yang sangat istimewa. Samada dia seorang waliyullah atau ulamak atau orang soleh yang istimewa kedudukannya di sisi Tuhan. Diambilnya sebatang kayu lalu dipacak di atas kubur yang bercahaya itu.


Keesokannya, lelaki itu datang lagi ke kawasan perkuburan itu dengan ditemani orang kampung. Beliau ingin menyelidik dan mengetahui kubur siapakah yang sangat ajaib itu.

Apakah seorang tuan guru atau waliyullah atau alim ulamak atau orang soleh yang terkenal?.

Bila bertanya kepada orang kampung, mereka kehairanan kerana apa yang mereka ketahui dan pasti ini adalah kubur seorang lelaki tua, yang pernah mendiami sebuah pondok di hujung kampung bersama isterinya.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut , lelaki itu berkunjung ke rumah si mati dan bertemu dengan isteri si mati. Dia lalu menceritakan keajaiban yang dilihat di perkuburan suaminya.

Anehnya, isteri si mati terkejut dan kehairanan. Dia sangat mengenali suaminya. Suaminya bukan siapa-siapa. Suaminya seorang petani kecil. Bukan seorang kiyai, bukan seorang ahli ibadah, bukan seorang yang soleh, apa lagi imam atau muazzin ataupun guru al-Quran di kampung itu. Malah suaminya tidak pandai membaca al-Quran dan dia tidak pernah mendengar suaminya membaca al Quran. Hal ini benar-benar menimbulkan kehairanan kepada lelaki tersebut dan isteri si mati.

Akhirnya, lelaki itu bertanya apakah perkara-perkara aneh yang si mati selalu lakukan dalam kehidupannya seharian. Akhirnya isteri si mati teringat suatu perkara yang selalu dilakukan oleh arwah suaminya, setiap kali sebelum tidur pada setiap malam. Katanya, setiap malam sebelum tidur, suaminya akan mengambil wudhu', kemudian masuk di dalam suatu bilik lalu diambilnya al-Quran di atas rak, lalu dicium dan dipeluknya dengan penuh kecintaan dan kasih sayang.

Ia akan duduk dan membelek al-Quran itu sehelai demi sehelai seperti sedang membaca, sedangkan ia seorang yang buta al-Quran. Dia akan meraba ayat-ayat al-Quran itu dengan tangannya , seolah-olah sedang menyentuh dan membelai sesuatu yang sangat dikasihi. Tambah isteri si mati lagi, dia pernah mendengar rintihan dan esakan tangis suaminya yang sangat sedih, mendayu-dayu dengan penuh penyesalan.

“Tuhanku! ampunkanlah aku kerana aku tidak mampu membaca kalimah-Mu. Janganlah Engkau hukum aku di atas kebodohanku ini.”

“Wahai Kalam Allah, maafkan kesalahan aku. Aku tidak mampu membaca kalimah mu. Aku tidak dapat bersahabat dengan mu. Aku tidak dapat memahami mu. Tapi aku sangat mengasihi mu. Aku sangat mencintai mu. “

“Wahai Kalamullah, janganlah engkau mendakwa aku, jangan engkau menuduh aku di hadapanTuhan di akhirat nanti”.

Cerita isteri si mati lagi. Kadang-kadang suaminya tertidur di dalam bilik itu ditemani al-Quran buah hati kesayangannya.

Begitulah suaminya setiap malam sebelum tidur. Lelaki itu meminta untuk melihat al-Quran kesayangan suaminya itu. Benar dan sangat mengharukan apabila dia melihat naskah yang mulia itu kelihatan lusuh, helaian-helaiannya kelihatan selalu dibelek berkali-kali. Dan ada bekas-bekas air mata di kertasnya ,tanda seseorang yang sering menangis, yang sering berjuraian air matanya tatkala membuka lembaran yang maha suci ini.

Pastinya lelaki ini sangat mulia peribadinya. Hatinya telah bersatu dengan ruh al-Quran. Dia sangat mengasihi kalimah-kalimah Tuhan dengan sesungguh-sungguhnya. Ini bererti, dia mengasihi Tuhan dengan seluruh jiwa dan raganya.

P/S : Marilah sama-sama kita menghidupkan al-Quran di dalam masjid kita, di dalam rumah kita, dan di dalam diri kita, sepanjang bulan Ramadhan, bulan pengampunan ini. Semoga dengan sedikit amal yang kita lakukan ini, Allah s.w.t akan memandangnya dengan pandangan rahmat sekaligus menghadiahkan redha agung-Nya kepada kita. Ameen..

via : iium.edu.my

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...