Wednesday 3 July 2013

Karya Sayu | Terimalah Seadanya



..2 tahun dahulu, aku selamat melahirkan seorang puteri yang amat kami nanti. Alhamdulillah. Berkat kesabaran aku dan suami, Allah s.w.t akhirnya mengurniakan kami bayi comel ini. Namun, disebalik keriangan itu, tersembunyi di sudut hatiku satu perasaan yang amat aku tidak senangi. Ia datang tanpa aku undang. Ia timbul bilamana aku menyaksikan setiap suami yang datang menziarahi isteri masing-masing, datang dengan membawa hadiah. Ya. Sebagai tanda penghargaan buat mereka yang telah berjuang berhabis-habisan bertarung nyawa demi melahirkan zuriat keturunan sang suami ke dunia nyata.

Ada yang datang membawa hamper pakaian. Ada juga yang datang membawa sebakul buah-buahan. Tetapi, suamiku ?? Dia hanya datang membawa beg pakaianku dan baju baby yang baru aku lahirkan. Baju baby itu pun adalah ‘sedekah’ pemberian dari kakaknya. Baju yang tidak muat dipakai oleh bayinya dan telah pun usang.
 Entahlah. Mungkin ini adalah nasib aku. Dipasangkan dengan seorang lelaki yang lurus bendul. Tidak pandai membantah apatah lagi membuat keputusan yang betul.  Mungkin istilah itu agak keterlaluan. Tapi itulah hakikat yang harus aku telan.

..Hari ini aku kembali lagi. Alhamdulillah. Kali ini, Allah s.w.t mengurniakan aku sepasang bayi lelaki yang amat cute. Putih dan gebu. Seperti dahulu, perasaan itu tidak jemu-jemu datang menziarahi aku. Namun, kali ini, aku pasrah. Aku cuba untuk tidak membandingkan diri suamiku dengan suami orang lain. Mungkin disebalik kelurusannya itu, terselindung 1001 hikmah yang aku tidak tahu.

Aku tidak mahu melayan perasaan ‘jahat’ itu lagi. Pandanganku ku alih. Tenang hatiku bila menatap wajah baby-babyku tidur dengan nyenyaknya. Keputusan ku buat untuk turut tidur, melelapkan mata bersama mereka. Mudah-mudahan, bila aku terjaga nanti, perasaan itu akan hilang, terbang, pergi bersama bayangan mimpi kelam. Bismillah.. Kepada-Mu ku pohon pertolongan.

‘’Puan..      Puan..     ,’’ Suara jururawat muda itu terngiang-ngiang menembusi gegendang telingaku. Aku membuka mata. Dalam samar, aku memandang wajahnya.

‘’Ini saya bawakan hadiah untuk Puan. Dari seseorang yang istimewa..’’ dia senyum lalu berlalu pergi.

Aku masih terpinga-pinga. Adakah aku masih berada di alam mimpi? Atau adakah aku sudah tidak berada di dunia lagi ? Aku gosok biji mataku berkali-kali. Tidak dapat aku gambarkan perasaanku ketika itu. Gembira. Suka. Bahagia. Aku seronok. Aku tersenyum puas apabila melihat jambangan merah bunga ros yang disusun rapi di dalam bekas berbentuk love. Juga di sisinya terdapat satu set bersalin mendampingi. Dalam kesakitan bercampur keriangan, aku bangkit mencapai kad ucapan yang terselit di jambangan itu.

‘’Terima kasih Sayang. Terima kasih kerana telah berkorban nyawa untuk melahirkan anak-anak Abang. Maafkan segala kekurangan yang terdapat pada diri Abang. Ketahuilah bahawa, Abang amat menyintai Sayang bermula dari kita berjumpa sehinggalah tiada hujungnya..’’

Sedar tidak sedar, air mataku mula bertakung. Panas. Aku rimas dengan takungan air suci ini. Menyesal, bersalah dan amat-amat berdosa aku rasakan saat itu. Suami yang aku labelkan sebagai seorang yang lurus bendul rupa-rupanya mempunyai sekeping hati yang begitu murni. Titisan-titisan itu telah mula membanjir. Dan akhirnya ia mengalir. Mengalir jatuh menimpa kad ucapan di tanganku. Aku sapu agar ia tidak memadamkan kenangan indah ini hasil nukilan suamiku.

‘’Sayang.. Kenapa ni ?’’

Tiba-tiba suamiku muncul berdiri di depan pintu. Bersama-samanya, dipimpin anak perempuan kami yang sudah pandai berjalan. Rambutnya diikat dua tocang. Comel. Ibarat bayi perempuan Pooh di dalam kisah animasi Monster Inc. Pandai suamiku menjaganya. Aku tidak menahan mata ini dari terus mengeluarkan airnya. Suamiku semakin mendekati. Resah. Lalu, dia duduk di tepi.

‘’Abang minta maaf Sayang. Abang terlambat. Arisa nak ke tandas tadi. Nak buang a..’’. Belum sempat dia menghabiskan bicaranya, aku rangkul jasad mulia itu semahunya. Aku menangis. Menangis menyesal di atas kekotoran hatiku ‘menghina’ dia.

‘’Abang.. Sayang minta maaf. Sayang banyak buat dosa terhadap Abang. Abang.. Tolonglah maafkan Sayang..’’ dalam sedu aku memohon ampun darinya. Aku tidak mahu lagi dirantai perasaan bersalah terhadap dia.

‘’Apa yang Abang nak maafkan ? Sayang tak ada buat salah pun dengan Abang. Apatah lagi, dosa Sayang sekarang telah Allah ampunkan hasil dari pengorbanan Sayang melahirkan anak Abang. Dah.., jangan nangis lagi. Tengok ni, apa yang Abang bawa untuk Sayang. Suka tak? ‘’ pujuk Suamiku mesra.

‘’Suka. Sayang suka Abang. Terima kasih. Sayang sayang Abang’’

Abang Bisu : Biarpun suami kita mempunyai banyak kekurangan, kita tidak boleh merajakan kekurangan itu sehingga menyebabkan kelebihan yang ada padanya tenggelam. Terimalah dia seadanya. Di samping itu, bantulah dia untuk mengatasi segala kekurangan yang ada. Kita kekurangan bila berseorangan. Namun, bila berdua, kita kan mencipta kesempurnaan. :)

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...