Semalam, setelah azan Maghrib berkumandang, aku terus ke bilik air untuk berwudhu'. Selesai berwudhu', aku tengok anak aku yang dua orang ni masih lagi asyik dengan mainan masak-masak mereka.
Lantas, dengan suara yang lantang, aku mengeluarkan arahan '' Una.. Ana.. Dah dah la main tu. Pergi bilik air, ambik wudhu'. Kita solat sekali. Siapa yang tak solat nanti masuk NERAKA tau.. '' ugut aku di akhir arahan.
Namun, apa yang mendukacitakan, mereka boleh buat derk je. Macam tak dengar apa-apa. Aiii.. Ini boleh mendatangkan marah. Grrrr..!! Berkecamuk aku sendirian.
Belum sempat aku ulang suara sekali lagi, Ummi mereka yang dah siap bertelekung datang mendekati mereka. Dalam pada itu, kata-kata lembut berupa seruan diucapkan kepada kedua-dua anak kecil itu
'' Una.. Ana.. Pergi ambil wudhu' sayang. Kita jemaah sama-sama. Kalau kita solat sama-sama, nanti kita boleh masuk SYURGA sama-sama..''
Bagaikan ada kuasa lain yang mendorong, anak-anak itu terus ke bilik air mengambil wudhu' tanpa perlu dipaksa dan tanpa ada pertumpahan air mata yang berlaku. Allahuuu..
Aku yang tadinya berdiri, terduduk di kerusi. Terlopong bercampur terkesima menyaksikan apa yang baru berlaku di depan mata.
Siap mereka berdua bertelekung dan membentangkan sejadah, aku laungkan iqamat disertakan air mata keinsafan. Huuuuu..
P/S : Jangan ugut anak-anak kecil dengan azab neraka tetapi ceritakanlah kepada mereka tentang indahnya syurga. Kerana hati mereka masih suci dan bersih dari kebejatan dosa
via : abangbisu
No comments:
Post a Comment